1. Path :
  2. Home
  3. /
  4. dimsum Melancarkan Cabaran Tarian Buat Julung kali di TikTok rebut peluang memenangi tiket VIP ke dimsum THAI POP 2019

dimsum Melancarkan Cabaran Tarian Buat Julung kali di TikTok rebut peluang memenangi tiket VIP ke dimsum THAI POP 2019

October 15, 2019   –   dimsum

dimsumh, salah satu perkhidmatan langganan video atas permintaan (VOD) terkemuka di Malaysia telah bekerjasama dengan TikTok, destinasi utama untuk video mudah alih pendek, mengumumkan cabaran tanda pagar pertama, #dimsumThaiPop2019. Cabaran sulung ini adalah bersempena kedatangan acara sambutan ulang tahun ketiga dimsum iaitu dimsum THAI POP 2019 yang dijadualkan berlangsung pada 10 November.

Menampilkan lagu tema drama dari Thailand My Ambulance yang telah meraih lebih 80 juta tontonan dalam talian, cabaran #dimsumThaiPop2019 ini membolehkan para peminat mempersembahkan gerak tarian mereka dengan mengikut langkah yang ditunjukkan oleh Ice Paris dan Pearwah Nichiaphat.

Lebih menarik, penyampai radio dan pengacara bagi rakan media rasmi dimsum THAI POP 2019 iaitu 988 dan mStar turut mengambil bahagian dalam cabaran ini.

“Kami sangat teruja membuat penampilan pertama di TikTok dengan cabaran tarian yang cukup terkenal dalam kalangan pengguna aplikasi ini. Menerusi gaya tarian yang mudah diikuti, kami percaya tarian My Ambulance ini dapat membolehkan dimsum meraih penonton generasi muda baharu. Selain itu, ia juga dapat mengukuhkan lagi kedudukan kami sebagai pemegang kandungan Thai terbesar di rantau ini,” kata Ketua Pegawai Pemasaran dimsum, Lam Swee Kim.

“Kami juga berharap agar para peminat dapat hadir dan memeriahkan acara bersama kami di dimsum Thai Pop 2019, serta berpeluang untuk bertemu artis-artis kegemaran mereka seperti Ice dan Pearwah,” kata Lam.

Untuk menyertai cabaran ini, pengguna aplikasi TikTok boleh merakam dan memuat naik video aksi tarian mereka menggunakan lagu tersebut dengan menyertakan tanda pagar #dimsumThaiPop2019 dan #MyAmbulance. Cabaran ini akan berlangsung pada 12 sehingga 19 Oktober 2019 dan dua peserta dengan video paling menarik bakal memenangi tiket VIP ke dimsum THAI POP 2019. Para pemenang juga berpeluang mempersembahkan tarian tersebut di atas pentas.

Selain itu, pemenang juga bakal menerima manfaat seperti pemegang tiket VIP lain iaitu poster yang ditanda tangan oleh selebriti, bergambar secara berkumpulan dan berpeluang untuk menerima cabutan bertuah serta menghadiri sesi hi-touch. Para pemenang akan diumumkan pada 26 Oktober 2019 di dimsum.asia dan TikTok Facebook Fans Page.

“TikTok mengkuasakan pencipta dari seluruh dunia untuk merakam dan berkongsi detik-detik kehidupan berharga. Cabaran #dimsumThaiPop2019 di TikTok adalah salah satu detik yang istimewa dan kami berbangga menjadi rakan kongsi dimsum, bukan sahaja untuk membawa kandungan yang menarik kepada penggunanya, tetapi juga untuk mewujudkan pengalaman dalam talian yang positif dan selamat bagi para pengguna mengikut citarasa tersendiri, ” kata Loh Kai Zhi, Ketua Pemasaran, Malaysia, TikTok.

dimsum THAI POP 2019 bakal diadakan pada 10 November 2019 di IDEAL Convention Centre Shah Alam. Acara ini dibarisi oleh sembilan artis popular dari Thailand iaitu Sunny Suwanmethanot, Tor Thanapob Leeratanakachorn, Jaylerr Kritssanapoom Pibulsonggram, Captain Chonlathorn Kongyingyong, Ice Paris Intarakomalyasut, Pearwah Nichaphat Chatchaipholrat, Sky Wongravee Nateetorn, Bbilkin Putthipong dan Thanaerng Kanyawee Songmuang.

Untuk maklumat lanjut, layari www.dimsum.asia/thaipop2019, dimsum official Facebook (facebook.com/dimsum.asia), Instagram (@dimsum.asia) atau TikTok (@dimsumasia).